Thursday, July 26, 2012

Beli Ijazah Palsu...Ahli Politik, Tan Sri antara terlibat...

SHAH ALAM - Kejayaan polis menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.

 Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal mendapati 525 orang 'graduan' tempatan serta asing dikesan terlibat membeli sijil palsu sejak beberapa tahun lalu. Beliau berkata, identiti semua 'graduan segera' yang terlibat, termasuk ahli politik dan individu bergelar Tan Sri, sedang dikenal pasti.

 Katanya, suspek lelaki yang juga pengarah syarikat berusia 37 tahun, ditahan di Cheras, manakala isterinya, seorang pensyarah berusia 36 tahun, ditahan di pejabat mereka di USJ 10, Subang Jaya. "Kedua-dua mereka direman empat hari sehingga esok mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya. 

 Tun Hisan berkata, dalam serbuan di pejabat suspek, pihaknya merampas senarai-senarai penerima sijil, dokumen-dokumen permohonan, sijil ijazah palsu, gambar konvokesyen, kad pelajar serta pelbagai risalah.

 Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek menjalankan operasi terbabit sejak 2003 dan mendapat pelanggan melalui ejen tertentu yang dihantar untuk mencari pembeli termasuk secara online. 

Katanya, suspek menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University. "Bagaimanapun tidak semua universiti terbabit wujud dan setakat ini suspek dikenal pasti mengaut keuntungan melebihi RM5 juta hasil kegiatan berkenaan. 

Pembeli sijil juga maklum sijil diterima adalah palsu. "Pelanggan juga hanya perlu membayar wang mengikut sijil yang dikehendaki dan mereka tidak perlu belajar, mengambil ujian atau menghantar kertas kerja," katanya. 

 Tun Hisan berkata, setelah jumlah pelanggan yang didaftarkan mencukupi, satu majlis konvokesyen akan diadakan di mana-mana hotel terkemuka di Lembah Klang, kononnya untuk mengiktiraf penerima ijazah atau 'graduan' terbabit. 

 Menurutnya, majlis itu dijalankan sama seperti majlis konvokesyen yang diiktiraf dan penerima ijazah palsu turut memakai pakaian konvokesyen selain ahli keluarga dijemput hadir. Katanya, bayaran lain turut dikenakan bagi sesi konvokesyen itu.

Sunday, July 15, 2012

Wednesday, July 11, 2012

Waspada jangan jadi mangsa...Rugi RM2,000 dipukau

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 28 tahun mendakwa kerugian lebih RM2,000 apabila dipukau seorang lelaki dalam kejadian di sebuah bank di Brickfields, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa mendakwa pergi ke bank berkenaan untuk memasukkan wang dalam akaun miliknya.  Menurut sumber, mangsa dihampiri suspek yang berusia lewat 30-an dan menepuk bahunya.  Selepas itu mangsa mendakwa dia menjadi khayal dan menyerahkan wang kepada lelaki berkenaan.  Mangsa hanya menyedari 10 minit kemudian.

Wednesday, July 4, 2012

Harga petrol RON97 turun 20 sen


KUALA LUMPUR 4 Julai - Kerajaan bersetuju mengurangkan harga jualan runcit petrol RON97 bagi bulan Julai sebanyak 20 sen seliter yang akan berkuatkuasa mulai esok.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pengurangan itu adalah ekoran purata harga minyak di pasaran bagi bulan Jun lalu telah menurun.

“Kerajaan sebelum ini telah menurunkan harga petrol tersebut sebanyak 10 sen seliter iaitu kepada RM2.80 seliter pada 7 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, harga tersebut pada dasarnya ditetapkan secara apungan iaitu harga bulanan akan diubah mengikut pasaran.
Sumber: http://www.utusan.com.my