Monday, May 28, 2012

Caj pendaftaran dan pembaharuan lesen milikan tunggal dan perkongsian hanya RM50

Hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan secara berterusan akan membela nasib peniaga dan penjaja kecil. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peniaga dan penjaja kecil hanya perlu membayar caj pendaftaran atau pembaharuan lesen sebanyak RM50 saja untuk tempoh lima tahun. 

 “Saya bagi pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan caj pendaftaran kali pertama dan pembaharuan untuk pemilikan tunggal atau perkongsian hanya RM50 untuk lima tahun berbanding RM150 dan RM300 sekarang.  
Hiasan

“Bayaran kompaun pendaftaran lewat dan pembaharuan lewat akan dikurangkan sebanyak 50 peratus. Pakej ini akan dilaksanakan bermula 1 Jun hingga 31 Disember ini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini, malam tadi. 

 Perdana Menteri berkata, insurans berkelompok turut disediakan kepada golongan peniaga dan penjaja. “Kita perlu mengemaskini data pendaftaran sebab satu skim insurans berkelompok disediakan dan butirannya akan diteliti serta dilaksanakan sedikit masa lagi. “Usaha ini penting kerana jika peniaga jatuh sakit mereka tidak ada Socso (Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia) jadi beban kos rawatan terpaksa ditanggung keluarga,” katanya.